SEGAMAT — Seorang wanita maut selepas bumbung sebuah sekolah berhampiran diterbangkan ribut dan menghempap kediamannya di Kampung Tahang Rimau, Segamat lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7.40 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai V Mahadevi, 55.
Komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Rahmat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung runtuhan bumbung Sekolah Menengah Jenis
Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa, kira-kira jam 7.41 petang semalam.
Katanya, runtuhan bumbung berkeluasan 5,400 kaki persegi itu diterbangkan angin dan menghempap kediaman mangsa yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.
Beliau berkata, mangsa kemudian berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) Segamat.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat ketika dihubungi berkata, kejadian ribut yang melanda daerah berkenaan petang semalam turut menjejaskan struktur bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat.
Katanya, kawasan yang paling teruk terjejas adalah di Mukim Sungai Segamat yang membabitkan 20 keluarga daripada Kampung Tahang Rimau, Kampung Jawa dan Kampung Tengah.
Kira-kira 15 kediaman turut terjejas di Mukim Gemereh dan Mukim Pogoh selain beberapa gerai peniaga turut dipukul ribut dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi. BH