Badan lelaki tidur atas landasan berkecai digilis kereta api

Penduduk kampung menunjukkan kawasan mangsa dikatakan tidur di atas landasan kereta api sebelum dirempuh tren. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT — Badan lelaki yang dikatakan tidur atas landasan berkecai selepas digilis kereta api di Kampung Palekbang di sini, tengah hari ini.

Dalam kejadian pada jam12.40 tengah hari, mangsa digilis tren Ekspres Timuran dari Johor Bahru ke Tumpat.

Menurut saksi, Osman Mohd Yusof, 57, berkata, beliau yang sedang minum di kedai kopi berhampiran terdengar bunyi hon kereta api sangat kuat dan terkejut apabila tren itu berhenti secara mengejut.

“Saya terus menunggang motosikal menuju ke lokasi dan saya bertanyakan apa yang berlaku kepada pemandu tren dan kemudiannya memberitahu terlanggar seseorang dan kami segera menuju ke lokasi kira-kira 300 meter dari tren itu untuk melihat keadaan mangsa.

“Kami terkejut melihat tubuh mangsa yang berkecai yang mana tubuh serta kepala lelaki itu terpisah malah cebisan daging kelihatan di merata-rata,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Osman juga mendakwa ternampak pakaian termasuk kain pelikat yang dipercayai dipakai mangsa tertanggal akibat rempuhan kuat itu.

Beliau dan pemandu tren ke Balai Polis Palekbang untuk membuat laporan.

Katanya, sepanjang menetap di kampung itu belum pernah berdepan lagi dengan kejadian ngeri itu sebaliknya hanya kemalangan biasa sahaja membabitkan penduduk kampung dengan kereta api.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat. BH