KOTA TINGGI — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengurangkan isu lambakan graduan perguruan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, amat penting bagi KPT untuk mengetahui unjuran keperluan guru yang hanya boleh diberikan KPM.
Katanya, keperluan guru bukan saja dalam kerajaan tetapi juga diperlukan dalam sektor swasta.
“Adalah sangat penting untuk kita tahu unjuran yang hanya boleh diberikan kepada kita oleh KPM, dan memanglah hasrat kita untuk bekerjasama dengan lebih rapat dengan KPM supaya isu ini boleh dikurangkan.
“Soal kita sekarang dengan mungkin ramainya yang ambil kursus perguruan kita perlu lihat bahawa keperluan perguruan bukan sahaja diletakkan di bawah kerajaan, dia boleh juga diletakkan swasta dan jadi guru di luar negara.
“Saya juga sudah beritahu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk dia beri tumpuan pengeluaran guru untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Semarak Komuniti Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar, di sini, hari ini.
Semalam, Berita Harian menerusi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, mendedahkan kecenderungan universiti awam serta swasta yang berlumba-lumba menawarkan pengajian pendidikan untuk melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran KPM boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang terbabit.
Ia berikutan rata-rata institusi pengajian tinggi negara ini membuat pengambilan pelajar ke program berkenaan berdasarkan kemampuan institusi itu sendiri sehingga mewujudkan keadaan penawaran melebihi permintaan.
Difahamkan, seramai 4,390 Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020, namun sebahagiannya dilaporkan masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah, manakala sebilangan kecil terpaksa memilih pekerjaan lain tanpa memerlukan kelayakan akademik. BH