IPOH — Seorang pekerja kuari di Simpang Pulai di sini, maut dalam jengkaut dikendalikannya, dipercayai akibat dihempap batu seberat 10 tan, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata maklumat kejadian diterima daripada orang awam jam 4 petang tadi.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah jengkaut dikendalikan lelaki berusia 48 tahun berasal dari Gerik itu yang dihempap sebuah batu besar seberat 10 tan yang jatuh dari ketinggian kira-kira 25 meter.
Beliau berkata, kejadian antara jam 12 hingga 1 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika mangsa menjalankan kerja pembersihan batu dalam kawasan kuari.
“Mangsa didapati tersepit dalam kokpit jentera berat itu sebelum dibawa keluar oleh pasukan bomba kira-kira jam 6.45 petang tadi.
“Kematian mangsa disahkan oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat. BH