PUTRAJAYA — Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan sewajarnya termasuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sekiranya 1 Syawal jatuh pada Jumaat ini, hari kelepasan am terbabit ditetapkan pada Isnin depan.
“Bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu ini, maka kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan.
“Bagi Sabah dan Sarawak, Kerajaan Negeri bolehlah mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh terbabit mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini. BH