PASIR GUDANG — Seorang penyelia sebuah syarikat swasta kerugian lebih RM92,220 selepas ditipu sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu daripada mangsa yang berusia 41 tahun, semalam.
Lelaki itu mula terpengaruh apabila sindiket berkenaan menyatakan kerja sambilan itu memberi pulangan lumayan.
“Mangsa menerima pesanan ringkas pada 13 April daripada sebuah syarikat yang menawarkan kerja sambilan iaitu dengan menyiapkan tugasan, dia dijanjikan pulangan dan komisen segera.
“Mangsa berminat untuk sertai sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan Telegram dan diberikan penerangan lanjut berkaitan tugasan itu.
“Mangsa kemudiannya mengambil pakej menyiapkan empat tugasan dengan bayaran RM92,220.
“Oleh itu, dalam tempoh 16 hingga 17 April, mangsa membuat 10 transaksi ke dalam enam akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM92,220,” katanya menerusi siaran media hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila kesemua tugasan diambil diselesaikan namun tidak menerima pulangan seperti yang dijanjikan.
“Sebaliknya, mangsa diminta untuk membuat pembayaran lain RM46,580 bagi proses pemulangan modal serta komisen,” katanya.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Polis juga akan menyiasat aspek pembabitan keldai akaun dan tindakan akan diambil kepada pemilik akaun terbabit,” katanya. BH