DUN Negeri Sembilan bubar secara rasmi hari ini

SEREMBAN — Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Rabu lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima watikah pembubaran DUN Negeri Sembilan pada hari pengumuman dibuat.

Pengarah SPR negeri, Mohd Heikal Kamarudin, berkata watikah itu diserahkan oleh Setiausaha DUN Negeri Sembilan, Mohd Amin Ludin di pejabat SPR negeri, di sini.

Dengan pembubaran itu, pentadbiran Negeri Sembilan kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga).

Barisan Nasional (BN) pula memenangi 16 kerusi dengan 15 daripada dimenangi UMNO manakala MIC, satu.

BH