KUALA LUMPUR — Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan pemantauan doktor.
Perkara itu dimaklumkan anak beliau, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut meminta orang ramai berdoa dan melakukan solat hajat untuk kesembuhan.
Muhammad Khalil berkata, Abdul Hadi sudah kelihatan uzur ketika pelancaran Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN), baru-baru ini.
“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru. Kesihatan Ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital.
“Malah kehadiran Ayahanda ke pelancaran jentera pilihanraya DPPN Terengganu tempoh hari sudah pun dalam keadaan keuzuran, namun tetap digagahkan dirinya.
“Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” katanya di laman Facebook, di sini hari ini.
Pada Februari tahun lalu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), pernah dimasukkan ke hospital, dipercayai akibat sesak nafas.
Beliau ketika itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas dilaporkan sesak nafas sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.