BELURAN — Dua orang maut selepas sebuah lori dengan muatan baja terjunam ke dalam gaung di Jalan Beluran-Paitan, hari ini, dipercayai akibat kerosakan pada brek.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata pemandu berusia 44 tahun dan penumpang, 25, meninggal dunia di lokasi akibat parah pada badan.
Katanya, ketika nahas kira-kira jam 9 pagi itu, lori terbabit dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Paitan.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati lori yang membawa muatan baja disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan raya.
“Sebaik terbabas, lori dilaporkan terhumban ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Beluran dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BH Online