‘Pengundi PRN jangan tunduk kepada politik wang’ – Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bergambar bersama pada mMajlis Penutup Program Kepimpinan Perusahaan Kecil dan Sederhana di Yayasan Kepimpinan Perdana. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA — Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan bakal pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti supaya tidak tunduk kepada politik wang.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pengundi seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap negara ini dan tidak tunduk kepada paksaan pihak tertentu untuk memberi undi.

“Jangan buang undi sebab anda dapat duit (rasuah).

“Jika anda sayang negara ini, jangan jual negara kepada rasuah dan jangan babitkan diri dengan amalan rasuah,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Program Kepimpinan Perusahaan Kecil dan Sederhana di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu juga mencabar mana-mana pihak untuk membuktikan sekiranya beliau pernah terbabit rasuah.

“Orang cakap saya juga pernah terbabit rasuah, buktikan perkara itu. Saya terbuka dalam hal itu dan anda boleh geledah mana-mana jabatan untuk siasat perkara itu.

“Jangan cuba merendahkan saya dengan mengaitkan saya cuba lawan rasuah, tetapi kata saya pun terbabit rasuah. Itu satu dakwaan yang jahat,” katanya.

Sementara itu, pada sesi soal jawab bersama peserta program, Dr Mahathir mendedahkan, kekalahannya di kerusi Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga disebabkan amalan rasuah.

Katanya, beliau bertanya kepada seorang pengundi di sana (Langkawi) yang juga rakannya, kenapa tidak mengundinya.

“Dia jawab saya tidak beri dia duit. Saya tanya lagi, berapa duit dia dapat, dia jawab RM100. Saya tanya dia, apa boleh buat dengan RM100 dan dia jawab duit itu boleh dibelanja untuk dua hari.

“Pada pilihan raya lalu, saya hilang lebih 14,000 undi hanya kerana rasuah. Sesiapa yang sayang dan ikhlas terhadap negara ini, mereka perlu memilih calon yang tepat untuk mewakili mereka.

“Undi pada calon yang baik, parti yang baik dan parti yang ingin buat benda baik dan bermakna buat negara,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian, dan penamaan calon pada 29 Julai.

BH Online