Rugi setengah juta diperdaya kekasih Love Scam

Foto hiasan – Unsplash

KUALA TERENGGANU — Seorang wanita yang juga kakitangan sebuah institut pengajian tinggi berputih mata selepas mendakwa menanggung kerugian sebanyak RM500,000 akibat diperdaya kekasih maya yang dikenalinya menerusi laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata mangsa dikatakan mula berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai warga asing melalui laman sesawang mencari jodoh pada Julai 2020.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan suspek sering meminta wang daripadanya dengan memberi pelbagai alasan sejak mereka berkenalan.

“Sepanjang tempoh perkenalan hampir tiga tahun bermula 2020 hingga 2023, mangsa membuat 22 transaksi wang ke beberapa akaun yang diberikan suspek membabitkan pindahan berjumlah RM500,000.

“Mangsa mengatakan dia memberikan kesemua wangnya termasuk wang simpanan dan wang pinjaman peribadi kepada suspek kerana percaya dan sayang memandangkan sudah lama berkenalan.

“Selain itu, mangsa yang mempercayai suspek turut akur dengan arahan suspek yang memintanya membuang segala bukti resit pemindahan wang ke akaun yang diarahkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa hanya menyedarinya diperdaya selepas rakan sekerjanya memaklumkan lelaki terbabit yang juga kekasih hatinya bukan individu yang berhubung dengannya selama ini.

Beliau berkata, mangsa yang berasa terperdaya sehingga mengalami kerugian berjumlah RM500,000 membuat laporan polis kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah ‘scammer’ yang telah memperdaya ramai mangsa,” katanya. BH