Mazda CX5 kejar Wira, seorang maut dua parah

(Foto bomba)

BATU PAHAT — Tindakan nekad seorang pemandu Mazda CX5 mengejar sebuah Proton Wira berakhir tragedi apabila ia menyebabkan seorang maut manakala dua parah di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kejadian jam 3.30 petang apabila pemandu CX5 yang juga pemilik kilang, berang selepas mendakwa penumpang hadapan Proton Wira yang dikejar itu melarikan telefon bimbitnya.

“Tiba di lokasi kejadian, Mazda CX5 yang dipandu suspek berusia 31 tahun secara bersendirian hilang kawalan dan terlanggar belakang Proton Wira dinaiki si mati yang diekorinya.

“Proton Wira itu pula dipandu lelaki berusia 39 tahun dengan penumpang hadapannya yang juga lelaki berumur 43 tahun dari Taman Putera Indah, Tongkang Pechah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Akibat rempuhan dari belakang, Proton Wira terbabit hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Axia yang dinaiki sepasang suami isteri.

“Pertembungan itu menyebabkan penumpang hadapan Proton Wira telah meninggal dunia di lokasi manakala pemandunya cedera ringan.

“Suami isteri yang menaiki Perodua Axia pula cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat,” katanya.

Beliau berkata, suspek tidak cedera manakala si mati bekerja sendiri, selain tiada tangkapan dilakukan.

“Saksi kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Asma’i Md Yusuff di talian 013-6550128.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II Badrul Hisyam Loi Abdullah, berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat dan Yong Peng bersama enam jentera dikerah ke lokasi kemalangan.

“Seorang mangsa tersepit di dalam Proton Wira dan mangsa lain berjaya keluar sebelum kami tiba.

“Kami mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan perubatan,” katanya. BH