Kes keganasan rumah tangga: Selangor nombor satu

SHAH ALAM — Selangor mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi, berbanding dengan negeri lain di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 813 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Selangor.

“Statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga di Selangor sejak 2017 sehingga 2021 kecuali penurunan sebanyak 466 kes tahun lalu.

“Daerah yang mencatatkan kes tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu adalah Gombak (147 kes), Kajang (91 kes) dan Petaling Jaya (79 kes). Daerah yang mencatatkan kes terendah adalah Shah Alam (21 kes), Sabak Bernam (25 kes) dan Sungai Buloh (26 kes),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup Seminar Memerangi Keganasan Rumah Tangga 2023 di Seksyen 15, di sini hari ini.

Hussien Omar berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, jenis kesalahan keganasan rumah tangga yang paling banyak dilaporkan adalah mendatangkan cedera (593 kes), kesalahan ugutan (153 kes) dan kesalahan khianat (49 kes).

“Statistik juga menunjukkan isteri kerap menjadi mangsa kes keganasan rumah tangga (352 kes), yang kedua adalah adik-beradik (177 kes) dan ketiga suami (121 kes).

“Selain itu, terdapat juga mangsa kes keganasan rumah tangga membabitkan bekas suami, bekas isteri, madu, ipar, menantu dan sepupu,” katanya.

BH Online