Warga India ditahan lakukan amang seksual terhadap budak dua tahun

KUALA LUMPUR — Polis menahan seorang lelaki warga India selepas disyaki melakukan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Suspek yang bekerja sebagai pelayan kedai makan ditahan Khamis lalu di Pandan Indah, Ampang Jaya, di sini, selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata berdasarkan laporan kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 petang, pada 20 Mei lalu di Medan Selera Pandan Indah, Ampang Jaya di sini.

“Mangsa mendakwa ketika dia sedang bermain, seorang lelaki membuat sesuatu kepadanya.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan kemerahan pada bahagian luar kemaluan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, hasil ujian air kencing didapati negatif dan suspek tidak memiliki rekod jenayah lalu.

“Suspek ditahan reman selama lima hari bermula Jumaat (24 Mei) hingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 merujuk kepada amang seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

BH ONLINE