ALOR SETAR — Sekumpulan 54 anggota sindiket penipuan dalam talian majoritinya warga China dan Taiwan ditahan dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perusahaan Mergong 2, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 6 petang di premis yang dijadikan disyaki dijadikan pusat panggilan penipuan dalam talian membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri yang dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi.
“Selain 19 lelaki Taiwan dan 29 lelaki warga China, baki yang ditahan membabitkan tiga lelaki tempatan serta dua lelaki Bangladesh dengan semuanya berusia antara 20 hingga 50 tahun.
“Hasil serbuan polis merampas pelbagai barangan seperti sebuah kereta Proton Exora, sebuah lori jenis Isuzu, dua kpmputer riba, dua unit komputer, 70 telefon bimbit, dua unit router, sebuah mesin pencetak, sembilan kertas mengandungi tulisan cina iaitu nombor akaun Bank Negara China,” katanya pada sidang media di IPK Kedah, di sini hari ini.
Mengulas sindiket modus digunakan, beliau berkata sindiket akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai dari agensi penguat kuasa sama ada polis, pegawai bank dan kastam.
Beliau berkata, pelbagai helah digunakan termasuk mendakwa akaun bank mereka akan dibekukan atau hilang, sebelum mangsa diminta memindahkan wang ke dalam akaun diberikan sindiket.
“Sindiket dipercayai beroperasi kira-kira empat bulan lalu di premis berkenaan dan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China dan Taiwan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, mereka mempunyai dokumen perjalanan dan pengenalan diri sah serta menjalankan kegiatan di sini, tetapi melakukan penipuan membabitkan warga negara lain,” katanya.
Menurut Fisol, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15(1) (C) Akta Imigresen 1959 atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan Seksyen 55B (1) Akta Yang Sama atas kesalahan menggajikan pendatang asing.
Semua yang ditahan direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis turut mencari dua saksi dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes ini iaitu Ooi Wooi Kean, 34, selaku pemilik premis serta Law Thiam Hee, 47, dipercayai pemilik syarikat kenderaan.
Fisol turut menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada pihak polis sekiranya mendapati ada individu mencurigakan meminta tempat untuk disewa secara lebih masa dengan kadar sewa lumayan.
“Jika ternampak ada individu datang dengan lori seperti lori menghantar makanan dan masuk semula ke dalam premis, tetapi tidak keluar semula, orang ramai boleh berkongsi maklumat dengan polis untuk memudahkan tindakan diambil.
“Ini kerana hasil siasatan yang kita lakukan berkaitan kes ini mendapati, bahagian belakang lori dirampas itu mengandungi sisa makanan,” katanya.
BH