PENAMPANG: Seorang wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Jalan Bundusan di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 24 tahun itu ditemui terbaring oleh orang awam kira-kira jam 4 petang, sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir, berkata siasatan awal di lokasi mendapati mangsa seorang wanita tempatan ditemui terbaring dipercayai terjatuh dari tingkat empat pangsapuri berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Erwansyah turut menasihatkan orang awan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
BH ONLINE