Wanita maut dalam kebakaran flat di Ampang

KUALA LUMPUR — Wanita maut dan seorang lelaki melecur di bahagian tangan kanan dalam kebakaran sebuah unit rumah di aras bawah flat lima tingkat di Garden Tour Apartment Jalan Maju 1/11, Taman Lembah Maju, Ampang di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata wanita tempatan berusia 28 tahun itu maut selepas badannya melecur kira-kira 80 peratus.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 9.46 malam dan sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian.

“Lelaki yang cedera dihantar ke Hospital Ampang dengan jentera EMRS, manakala mangsa wanita disahkan meninggal dunia dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Komander Operasi Amran Muda ketika dihubungi, berkata kebakaran itu membabitkan satu unit rumah aras paling bawah dan tidak membabitkan unit lain.

“Kedua-dua mangsa dipercayai ahli keluarga, namun butiran lengkap masih belum diperoleh,” katanya.

BH – BERNAMA