Usahawan didakwa tipu pelaburan, 7 mangsa kerugian RM900,000

KUALA LUMPUR — Seorang usahawan didakwa memperdaya orang ramai melabur dalam pra tawaran permulaan saham (pra-IPO) untuk syarikatnya yang dikatakan akan disenarai di Bursa Malaysia.

Tujuh individu yang melabur di syarikat milik usahawan itu mendakwa diperdaya membabitkan kerugian mencecah RM900,000 apabila tiada pulangan pelaburan dan dividen diberikan sejak dua tahun lalu.

Seorang mangsa yang juga pekerja sebuah syarikat swasta mendakwa dipanggil menghadiri seminar pelaburan selepas tertarik dengan iklan tawaran pelaburan pada 2020.

Usahawan itu mendakwa dijanjikan pulangan sebanyak 50 peratus daripada keuntungan syarikat menyebabkannya membuat pelaburan di empat syarikat dengan jumlah keseluruhan pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Selepas setahun melabur, saya terima laporan kewangan syarikat menyatakan rugi. Saya faham apabila melabur memang akan ada untung rugi dan ketika itu pula pandemik COVID-19.

“Tetapi apa yang saya kecewa adalah sehingga kini saya tidak terima sebarang pulangan dan tiada laporan kewangan, laporan audit diberikan serta tiada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dijalankan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Seorang pensyarah sebuah universiti awam berusia 35 tahun mendakwa melabur RM100,000 di dua syarikat milik lelaki itu.

“Saya mula melabur pada 2021 tapi sehingga kini tidak dapat apa-apa pulangan. Sebagai pelabur saya ada hak untuk tahu ke mana pelaburan, laporan kewangan dan AGM, tapi bila tanya dia beri pelbagai alasan,” katanya.

Beliau yang berasa ditipu tampil membuat laporan polis pada awal bulan lalu dan berharap siasatan lanjut dijalankan.

Peguam syarikat guaman Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co Ainur Rabiatuadawiyah Hassim, yang mewakili lapan mangsa termasuk pengarah urusan syarikat hari ini tampil mendedahkan perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan penipuan pelaburan membabitkan individu sama daripada tujuh mangsa dan sebuah syarikat.

Menurutnya, mangsa mendakwa melabur selepas terpedaya dengan representasi lelaki itu bahawa syarikatnya akan disenaraikan di Bursa Malaysia dan menjadi syarikat senarai awam serta akan mendapat keuntungan tinggi hasil pelaburan itu.

“Kebanyakan pelabur menghadiri sesi taklimat saham khas pra-IPO anjuran lelaki terbabit yang dilakukan secara atas talian atau bersemuka sebelum membuat pelaburan mereka.

“Bagaimanapun, anak guam tidak puas hati apabila lelaki itu dikatakan gagal mengadakan AGM, jumlah saham dicatatkan dalam carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak selari dengan jumlah bayaran dibuat serta tiada maklumat berkaitan perkembangan syarikat.

“Malah, mereka juga tidak menerima laporan kewangan beraudit dan syarikat gagal untuk disenaraikan di Bursa Malaysia mengikut tempoh dijanjikan,” katanya.

Berikutan itu, beliau akan mewakili mangsa bagi mengambil tindakan undang-undang dan berharap pihak berkuasa bertindak segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

BH Online