KOTA KINABALU — Kerajaan Sabah mengulangi pendiriannya untuk meneruskan tuntutan 40 peratus hasil negeri daripada Kerajaan Persekutuan meskipun menerima pemberian khas RM125.6 juta pada tahun ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perkara itu sudah dijelaskan berulang kali oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di Sabah itu terus disuarakan menerusi rundingan tuntutan hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, Ketua Menteri tidak akan mengelirukan rakyat negeri ini mengenai tuntutan 40 peratus itu yang didakwa pemimpin pembangkang sudah diganti dengan pemberian khas kepada Sabah.
“Ketua Menteri sudah menjelaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memperjuangkan hak Sabah seperti termaktub dalam MA63 yang merangkumi tuntutan 40 peratus.
“Ketua Menteri sudah beberapa kali mengulangi pendirian GRS untuk meneruskan tuntutan 40 peratus di Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun menerima bayaran pemberian khas RM125.6 juta daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan (WARISAN), Assafal Alian mengenai dakwaannya bahawa pemberian khas baharu kepada Sabah yang ditandatangani tahun lalu itu akan menjejaskan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.
Assafal antara lain mendakwa Perintah Pemberian Khas Sabah pada tahun lalu itu yang dikenali sebagai PU(A)119/2022 dibuat bagi menggantikan perintah pemberian khas 1970 (PU(A)328/1970) yang dibuat bagi menggantikan tuntutan hasil 40 peratus.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata kenyataan Assafal itu cuba mengelirukan rakyat Sabah bagi menutup kegagalan WARISAN ketika berkuasa sebelum ini.
Beliau berkata, hasil daripada pembayaran pemberian khas sebanyak RM125.6 juta itu, kerajaan negeri menyalurkannya untuk pembinaan rumah mampu milik yang dikenali Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan DUN.
“Adakah Assafal cuba mengatakan bahawa Sabah harus menolak RM125.6 juta itu sedangkan ia memanfaatkan rakyat berbanding dengan kerajaan WARISAN dulu yang hanya bersetuju menerima RM53.4 juta saja daripada Kerajaan Persekutuan.
“Ini terbukti dalam ucapan Bajet Negeri 2020 oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 15 November 2019 sebagai Ketua Menteri ketika itu yang mana beliau bersetuju menerima RM53.4 juta.
“Jika WARISAN masih berkuasa, Sabah hanya mungkin menerima RM80.1 juta sahaja dan bukannya RM125.6 juta. Mungkin, Assafal harus menjelaskan perkara ini daripada cuba menipu orang ramai mengenai isu ini,” katanya.
BH Online