CYBERJAYA — Kerajaan PAS Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) digesa tidak menyalahgunakan kuasa dengan mengenakan kompaun terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam hanya kerana memakai seluar pendek paras punggung ketika berada di premis niaganya.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyifatkan tindakan kompaun oleh MPKB itu melanggar hak kebebasan yang dijamin Perlembagaan dan peniaga itu juga bukan dalam kalangan orang Islam.
Susulan itu, beliau mahu kompaun terbabit ditarik balik demi keharmonian semua kaum dan perkara yang terjadi itu sesuatu yang amat memeranjatkan dalam kalangan bukan Islam.
Katanya, apa-apa tindakan sekalipun, penguatkuasaan undang-undang harus berpaksikan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebebasan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Saya harap, MPKB dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) lain ambil iktibar dengan perkara yang berlaku. Jangan terlalu ghairah mengeluarkan kompaun, sekurang-kurangnya berbincang dan beri nasihat terlebih dahulu kerana peniaga itu bukan dalam kalangan muslim.
“Ketika kejadian, peniaga itu juga berada dalam premis kedainya sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak di projek kediaman Aspire Residence di sini hari ini.
Kor Ming berkata demikian ketika diminta menjawab pertanyaan media berkenaan kes seorang wanita bukan muslim berseluar pendek paras punggung yang dikenakan kompaun MPKB pada hujung minggu lalu.
Terdahulu media melaporkan, Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin, menegaskan yang kompaun itu dikeluarkan penguat kuasanya mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.
Beliau berkata, pemegang lesen perlu memastikan diri sendiri dan pekerja mereka berpakaian sopan, bersih, selain kemas sepanjang menjalankan aktiviti tred, perniagaan atau perindustrian dalam kawasan pentadbiran PBT itu.
Kor Ming berkata, hak kebebasan seperti itu harus dihormati dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, ini adalah kebebasan hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan bagi peniaga yang bukan muslim mereka berhak memakai apa yang diingini. BH