IPOH — Tiga maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 262.5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Changkat Jering,di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.11 malam berhubung kemalangan tersebut yang melibatkan kereta jenis Perodua Bezza dan Honda City.
“Mangsa yang meninggal dunia ialah penumpang wanita dalam kereta Honda City yang identitinya sedang dikenal pasti dan pasangan suami isteri berusia 37 serta 36 tahun yang berada dalam Perodua Bezza.
“Ketiga-tiga mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata enam mangsa yang cedera iaitu lima kanak-kanak dan seorang wanita pula telah dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
“Semua yang cedera itu juga sedang dikenal pasti identiti mereka mereka,” katanya.
BH Online memetik BERNAMA