Tiada lagi hukuman mati mandatori di Malaysia mulai hari ini – Ramkarpal

KUALA LUMPUR — Tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata pemansuhan itu bertujuan menghormati hak setiap individu untuk hidup di Malaysia serta memastikan keadilan bagi semua pihak.

“Prinsip asas yang ingin diberi penekanan oleh kerajaan di sebalik setiap hukuman di Malaysia adalah pemulihan banduan agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi individu yang berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara setelah selesai menjalani hukuman.

“Mengikut subseksyen 1(2) Akta 846, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menetapkan 4 Julai 2023 sebagai tarikh akta ini mula berkuat kuasa. Oleh yang demikian, tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat mulai tarikh ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847), beliau berkata ia telah menerima perkenan diraja pada 9 Jun lalu, namun belum berkuat kuasa.

Ramkarpal berkata, permohonan semakan hukuman mati atau pemenjaraan sepanjang hayat di bawah Akta 847 hanya boleh difailkan selepas terdapat penetapan tarikh kuat kuasa oleh Azalina melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri sejak Mei 2023 mengadakan beberapa mesyuarat membabitkan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan, Majlis Peguam Malaysia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan serta Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

“Mesyuarat itu adalah bagi membincangkan mekanisme dan garis panduan pelaksanaan semakan hukuman mati serta pemenjaraan sepanjang hayat. Butiran berhubung mekanisme dan garis panduan berkenaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau juga berkata reformasi udang-undang itu adalah langkah awal dalam mentransformasikan sistem keadilan jenayah di Malaysia.

Katanya, lebih banyak semakan dan reformasi sistem perundangan jenayah akan dilaksana selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mewujudkan sistem perundangan yang lebih progresif serta relevan bagi membangunkan Malaysia MADANI.

Sumber – BH memetik Bernama