KUALA LUMPUR — Dua persatuan peguam syarie membantah keputusan kerajaan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam.
Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga bersependapat, kerajaan perlu memberikan penjelasan berhubung tindakan penarikan balik rayuan itu.
Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata sebelum ini, Peguam Kanan Persekutuan menegaskan mahkamah terkhilaf dalam membuat keputusan dan kerajaan akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
“Terdapat juga laporan yang menyatakan beberapa pihak mendesak kerajaan menarik balik rayuan itu.
“Sehubungan itu, kerajaan perlu memberikan penjelasan penuh mengapa terdapat perbezaan tindakan yang tidak dimaklumkan kepada masyarakat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang diberikan hak oleh mahkamah menjadi amicus curae (sahabat mahkamah) dalam kes itu, dirujuk sebelum keputusan dibuat.
“Di Negeri Selangor umpamanya, terdapat undang-undang negeri yang menghalang penggunaan kalimah tertentu, termasuk kalimah Allah, yang diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor dan diperkenan oleh Sultan Selangor.
“Sebagai Ketua Agama Negeri yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa budi bicara sebagai Ketua Agama Negeri dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, penarikan balik secara unilateral ini menjejaskan kuasa Sultan Selangor khususnya,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya sangat kesal dan terkilan dengan tindakan itu kerana ia juga tidak selari dengan hasrat penghakiman kes kalimah Allah terdahulu iaitu dalam kes Titutar Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur.
Sementara itu, Presiden PGSM, Musa Awang, dalam kenyataan berkata, pihaknya turut terkilan dengan tindakan itu dan menuntut kerajaan memberikan penjelasan penuh kerana ia secara langsung akan menjejaskan maslahah dan kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.
“PGSM berharap kerajaan dapat meneliti semula perkara itu serta meneruskan rayuan ke mahkamah tertinggi negara, dengan mempertimbangkan pelbagai sudut dan aspek.
“Kita juga harap kerajaan berpegang teguh kepada enam tonggak dasar membangun Malaysia MADANI yang diperkenalkan kerajaan, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan serta ihsan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan menarik balik rayuan itu boleh menggugat tonggak dasar kemampanan, kesejahteraan dan hormat kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan dan keseimbangan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.
Musa menegaskan, sebarang tindakan oleh kerajaan perlu mengambil kira undang-undang negeri khususnya yang menghalang penggunaan kalimah tertentu, termasuk kalimah Allah, yang sudah diluluskan Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh Sultan.
Katanya, PGSM juga berharap kerajaan tidak terpengaruh dengan desakan pihak tertentu supaya menarik balik rayuan terbabit.
BH hari ini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu. BH