Suami isteri tampal bendera Israel di restoran makanan segera direman

SEPANG — Sepasang suami isteri ditahan reman sehari hari ini bagi membantu siasatan kes menampal pelekat bendera Israel di sebuah premis restoran makanan segera di Kajang awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pasangan berusia 20-an itu ditahan di Kajang semalam ketika melakukan tindakan itu.

Menurutnya, kedua-dua suspek turut dikesan positif dadah yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, bagi kesalahan menampal pelekat, suspek boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Pasangan suami isteri ini juga akan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya atas perbuatan khianat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Lapangan Terbang (KLIA) di sini hari ini.

Hussein berkata, sejak Selasa lalu polis mengesan tujuh kes khianat menampal pelekat bendera Israel dan menconteng premis makanan segera dengan perkataan jelik.

Menurutnya, empat kes dikesan di Sungai Buloh, dua kes di Petaling Jaya dan satu di Kajang.

Katanya, polis mengesyaki perbuatan di Petaling Jaya dan Sungai Buloh dilakukan suspek sama berdasarkan bentuk tulisan yang sama.

“Polis akan menyiasat sama ada pasangan suami isteri ini terlibat dalam kes yang berlaku di Petaling Jaya dan Sungai Buloh, “katanya.

Dalam pada itu Hussein memberi amaran kepada orang awam supaya tidak terlalu fanatik dalam isu membabitkan perang antara Palestin dan Israel sehingga membelakangkan undang-undang dan menganggu gugat keamanan dan ketenteraman negara.

Katanya,mana-mana pihak yang melakukankesalahan boleh berdepan tindakan undang-undang.

BH ONLINE