‘Sistem pengkelasan pendapatan kita ketinggalan zaman’

KUALA LUMPUR — Pengkelasan pendapatan di negara ini perlu dirombak semula kerana tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat.

Malah, kerajaan perlu melihat perkara itu secara menyeluruh dengan mengemas kini garis kemiskinan supaya lebih realistik dan komprehensif.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof Dr Baharom Abdul Hamid, berkata pengkelasan pendapatan yang menggunakan B40, M40 dan T20 dilihat ketinggalan zaman dan perlu ditambah baik.

“Pengkelasan itu harus dilihat dari setiap sudut dan tidak tertumpu kepada pendapatan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira tanggungan dan liabiliti.

“Ia juga harus lebih spesifik mengikut kawasan, daerah dan negeri individu. Kerajaan harus telus dalam perkongsian maklumat pengkelasan pendapatan itu.

“Di atas kertas, purata gaji rakyat di negara ini yang hidup di bandar kebanyakannya berada dalam lingkungan M40, namun disebabkan kos hidup makin tinggi, mereka berada dalam kategori ‘miskin bandar’,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai laporan mengenai kos hidup selesa di Lembah Klang paling tinggi, diikuti Georgetown dan Johor Bahru.

Menerusi laporan dikeluarkan oleh panduan Belanjawanku 2022/2023 yang diterbitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, kos hidup selesa untuk golongan bujang di Lembah Klang meningkat RM60 kepada RM1,930 berbanding RM1,870 dalam Belanjawanku 2019.

Selain itu, pasangan suami isteri dengan dua anak memerlukan antara RM5,430 hingga RM6,890 sebulan untuk hidup selesa di kawasan bandar.

Baharom berkata, keadaan akan menjadi lebih parah dan rakyat terus terbeban sekiranya tiada tindakan diambil kerajaan.

“Apa yang diperlukan rakyat ialah gaji bermaruah dan bukannya gaji minimum, maka kerajaan tidak boleh selesaikan masalah ini dengan membuat pemotongan subsidi semata-mata.

“Statistik taraf kemiskinan dapat dibasmi, pendapatan bertambah, harga barangan terkawal itu cuma angka di atas kertas, realitinya rakyat berasa sebaliknya, terhimpit dan sengsara.

“Disebabkan itu, kita mahu kerajaan rombak kembali dan teliti situasi sebenar,” katanya.

Sekiranya ia sudah dirombak, beliau menyarankan kerajaan lebih terbuka berkongsi maklumat terutama kepada institusi tertentu.

“Maklumat kini di hujung jari, masyarakat dan pemegang taruh mahu maklumat terperinci. Kerjasama pihak kewangan sosial seperti Lembaga Zakat harus lebih progresif supaya ia dapat membantu lebih ramai yang terkesan,” katanya. BH