Pemandangan udara menunjukkan kerosakan dan banjir akibat hujan lebat selepas taufan ekstra tropika, di Sao Leopoldo, negeri Rio Grande do Sul, Brazil 17 Jun 2023. (Reuters)
SAO PAULO — Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh di wilayah selatan Brazil, Rio Grande do Sul selepas siklon ekstra-tropika melanda wilayah itu pada Jumaat, menurut pihak berkuasa negeri itu.
Ribut itu menyebabkan hujan lebat dan pencarian helikopter sedang dijalankan di kawasan kejiranan yang ditenggelami air untuk mencari 20 lagi yang hilang, kata kerajaan Rio Grande do Sul dalam satu kenyataan akhbar.
Salah satu yang paling teruk terjejas di laluan siklon itu ialah bandar Caraa, dengan populasi lebih 8,000 orang.
“Keadaan di Caraa amat membimbangkan kami. Adalah penting untuk kita, secara tersusun, memetakan kawasan utama terjejas dan mengenal pasti orang yang memerlukan sokongan,” kata gabenor Rio Grande do Sul, Eduardo Leite, yang melawat kawasan itu.
Setakat malam Jumaat, Maquine, sebuah perbandaran di pantai timur, telah menerima hujan sekitar satu kaki, kata pihak berkuasa.
Ramai penduduk di kawasan terjejas telah berlindung di kemudahan sukan luar di bandar mereka. Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran untuk risiko tanah runtuh di beberapa kawasan.
Leite berkata pihak berkuasa telah menjalankan 2,400 penyelamatan dalam dua hari lepas.
“Objektif utama kami pada saat pertama ini adalah untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa manusia. Kami sedang menyelamatkan orang yang terkandas, mencari orang hilang dan memberikan semua sokongan kepada keluarga,” katanya.
Banjir maut di Brazil adalah perkara biasa dan telah menyebabkan kemusnahan selama beberapa dekad. AN memetik Reuters