Seorang maut, dua cedera kemalangan di Tanjung Aru

KOTA KINABALU — Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di bawah jalan bertingkat di Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

Pemandu, Armada Said, 56, ditemui tersepit dalam Proton Iswara Aeroback dipandunya dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lama selepas itu.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.08 malam sebelum menggerakkan sembilan anggota ke lokasi yang letaknya dua kilometer dari balai bomba.

“Setiba di tempat kejadian, didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Proton Iswara Aeroback dan Perodua Viva.

“Terdapat tiga mangsa terbabit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Riki Mohan berkata mangsa dalam Perodua Viva seorang lelaki berusia 26 tahun cedera dihantar ke hospital oleh orang awam.

“Dua mangsa berada dalam Proton Iswara Aeroback termasuk pemandu yang disahkan meninggal oleh pasukan KKM di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE I) untuk rawatan lanjut,” katanya.

BH ONLINE