Semak dulu tawaran, elak jadi buruh paksa di negara orang

SUNGAI PETANI — Rakyat negara ini seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran lumayan bekerja di luar negara yang akhirnya menyebabkan mereka menjadi mangsa buruh paksa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kes seperti itu masih berlaku dengan terbaharu membabitkan 127 rakyat negara ini yang berjaya diselamatkan polis Filipina 27 Jun lalu.

“Kita ingatkan supaya rakyat Malaysia tidak mudah terjebak dengan apa-apa bentuk tawaran kerja yang diterima tanpa melakukan semakan. Kena ada kesedaran orang awam ini tentang perkara ini melalui kempen dari semasa ke semasa.

“Manusia ini lumrahnya semakin diberi ingatan, kadang-kadang ada juga masih terlibat. Jadi kalau ini terus berlaku, kita terpaksa menyelamatkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-51 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) peringkat kebangsaan di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara, Bukit Selambau, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah RELA, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Kelmarin, media melaporkan seramai 127 daripada 134 rakyat negara ini berjaya diselamatkan polis Filipina dalam serbuan ke atas Philippine Offshore Gaming Operator (POGO) pada 27 Jun lalu selepas disyaki menjadi buruh paksa.

Kementerian Luar Negeri berkata Kedutaan Besar Malaysia di Manila mengenal pasti 127 individu terbabit dan akan memberikan bantuan konsular sewajarnya sebelum dihantar pulang dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, usaha membawa pulang rakyat Malaysia itu akan membabitkan penyelesaian antara kerajaan dengan kerajaan atau polis dengan polis membabitkan interaksi polis ASEAN.

Katanya, kaedah itu turut diguna pakai bagi menyelamatkan mangsa berkaitan kejadian sama di negara ASEAN lain seperti Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand sebelum ini.

“Kita mengguna kaedah yang sama. Asas kita adalah rakyat Malaysia itu wajib diselamatkan dan setelah diselamatkan, diuruskan dan di bawa pulang dengan selamat.

“Itu asas kepada tindakan yang kita buat termasuk dalam insiden terbaharu (membabitkan 127 rakyat Malaysia yang diselamatkan),” katanya.

BH