ALOR SETAR — Kerajaan negeri akan meneruskan usaha membetulkan sejarah berkaitan kedudukan Kedah dan Pulau Pinang yang didakwa dipesongkan sejak 200 tahun lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata eksploitasi ke atas sejarah Kedah yang dilakukan sejak pemerintahan British wajar diperbetul selepas mendakwa pakar sejarah menemui fakta baharu hasil daripada pelbagai kajian.
Jelasnya, sekiranya pembetulan itu tidak dibuat, rakyat terutama generasi muda akan terus hidup dalam pemesongan sejarah yang dibuat pihak yang mempunyai kepentingan dalam setiap peristiwa yang berlaku.
“Ini ada pakar sejarah kata sewa (Pulau Pinang) sudah terbatal. Itu dia seorang sahaja yang kata kerana dia juga lahir daripada sistem yang telah dipesongkan. Saya tak tahu PhD (Doktor Falsafah) dia kaji bab apa.
“Jadi apabila kita ada hasrat murni untuk memperbetulkan pemesongan membabitkan Kedah, maka hasrat ini patut disokong selagi ia benar berdasarkan hakikat yang telah terjadi pada waktu itu dan mesti diperbetulkan ketika ini.
“Keadaan ini mesti diperbetul anak bangsa yang kemudian lahir dan mempunyai kecerdikan, kepintaran, kecerdasan, berilmu, mempunyai maklumat, membuat kajian dan ada usaha untuk membuat pembetulan berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Kelmarin, pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam menjelaskan, sewaan Pulau Pinang telah terbatal sebaik sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.
Menurutnya, berdasarkan sejarah dan surat perjanjian pada tahun 1786, Francis Light hanya menyewa kepada Kedah dan ia dibayar secara tahunan.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau menjunjung titah Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengenai sejarah hubungan Kedah dan Pulau Pinang sempena Hari Keputeraan baginda Ahad lalu.
Katanya, mana-mana pihak tidak wajar berasa bimbang atau risau atas titah yang disampaikan Sultan Kedah itu kerana ia adalah benar, lurus dan betul berdasarkan fakta yang dimiliki.
“Seperti saya kata, Kesultanan Kedah ini adalah yang tertua di dunia dan satu-satunya yang diperintah keluarga sama yang tidak pernah terputus hubungan kekeluargaan sejak zaman sebelum Islam sehingga pengislaman Sultan Kedah pertama pada tahun 1136.
“Disebabkan itu adakah kita sanggup hidup dalam pemesongan sejarah buat selama-lamanya? Saya tak sanggup, jika ada yang sanggup, itu kerana dia ada kepentingan dalam pemesongan itu dan kita ada kepentingan untuk memperbetulkan apa yang dipesongkan.
“Kita menjunjung titah perintah Sultan Kedah yang mahu sejarah sebenar direalisasikan berdasarkan pembentangan fakta tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, itu usaha yang sedang kita lakukan,” katanya.
Sultan Sallehuddin sebelum ini bertitah, bahawa pembentukan Malaysia tidak sepatutnya menjadi titik yang membenarkan sejarah Kedah yang wujud sejak sekian lama dipadamkan.
Baginda bertitah, perbincangan mengenai sejarah Kedah di pelbagai platform mulai subur sejak akhir ini di segenap lapisan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang. BH