Rumah panjang Laweng dinaiki air, 28 penghuni dipindahkan

BETONG — Seramai 28 penghuni daripada enam keluarga di Rumah Panjang Laweng di Padeh, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Layar selepas rumah panjang mereka dinaiki air sedalam 0.6 meter, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Vincent Baling Yabi, berkata sepasukan anggotanya dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 6.41 petang bagi memindahkan mangsa.

Sejurus sampai, katanya, pasukan bomba mendapati kawasan sekitar rumah panjang sudah mulai dinaiki air dan masuk ke dalam rumah panjang.

“Pasukan bomba yang menggunakan sebuah bot kemudian menjalankan operasi pemindahan dari rumah panjang ke kawasan selamat di tepi jalan.

“Operasi pemindahan mengambil masa satu jam yang mana operasi pemindahan selesai sepenuhnya pada jam 7.31 malam,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa termasuk seorang bayi perempuan dan orang kurang upaya (OKU) lelaki kemudian dihantar ke PPS Layar untuk penempatan sehingga air surut.

BH ONLINE