TANJONG KARANG — Semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mendapatkan surat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga sebelum merakam gambar, video dan audio serta memuat naik ke laman media sosial.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM lebih awal mengeluarkan garis panduan itu pada 21 Ogos lalu untuk menguruskan isu gangguan seksual selain memberi perlindungan kepada keselamatan kanak-kanak, khususnya di sekolah.
“Dalam garis panduan ini, kita sudah mengingatkan guru berkaitan dengan kebenaran yang diberikan ibu bapa apabila ingin membuat content (kandungan).
“Kita sangat mengambil berat mengenai isu kebenaran ini kerana kita tidak mahu ia menjadi isu besar, kerana ada kaitan isu keselamatan khususnya kanak-kanak (ketika berada di sekolah).
“Proses kebenaran daripada ibu bapa (surat akuan) diperlukan sekiranya ada program atau kandungan pendidikan yang membabitkan kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Hab STEM di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang, di sini.
Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas.
Pada 6 September lalu, media melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan guru di institusi pendidikan tidak terkecuali daripada mematuhi undang-undang tidak menghasilkan kandungan di platform media sosial yang membabitkan kanak-kanak.
Fahmi dilaporkan berkata, KPM perlu memastikan tenaga pengajarnya mematuhi Akta Kanak-Kanak 2001 apabila mahu menghasilkan kandungan untuk dimuat naik dalam media sosial.
Fadhlina berkata, garis panduan itu bukan saja perlu dipatuhi guru malah semua pihak supaya lebih berhati-hati apabila menghasilkan kandungan yang membabitkan pelajar dan kanak-kanak.
“Saya harap garis panduan ini dipatuhi sepenuhnya daripada pendidik. Saya yakin mereka dapat mematuhinya kerana garis panduan ini adalah khusus untuk memastikan keselamatan semua pihak terutama anak-anak,” katanya.
Sebelum ini, KPM melalui surat pekeliling dengan nombor rujukan KPM.100-1/3/2 Jld.9 (52) bertarikh 21 Ogos lalu memaklumkan mengenai pelaksaan surat akuan ibu bapa atau penjaga untuk kebenaran rakaman gambar, video atau audio murid serta memuat naik ke laman media sosial bagi program anjuran institusi pendidikan di bawah KPM.
Pelaksanaan surat akuan kebenaran itu selaras dengan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 11 Tahun 2023: Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM bertarikh 4 Oktober 2023 bertujuan mengawal selia penggunaan media sosial oleh institusi pendidikan bawah KPM.
Menurut surat pekeliling itu lagi, Perkara 5.3 (vi) dalam garis panduan berkenaan selaras dengan Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, iaitu penjawat awam tidak dibenarkan untuk memuat naik kandungan multimedia yang berkaitan dengan pentadbir sekolah, guru, murid, ibu bapa atau penjaga tanpa kebenaran.
Awal bulan ini, seorang pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid sekolah rendah yang juga penumpangnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kerana melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017.
BH ONLINE