KHARTOUM — Dianggarkan 85 orang awam terbunuh dan lebih 110 lagi cedera pada hujung minggu, ketika pertempuran semakin memuncak antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di El Fasher, ibu kota Darfur Utara di barat Sudan, kata jawatankuasa penentangan tempatan pada Isnin.
Jawatankuasa penentangan di El Fasher, sebuah kumpulan bukan kerajaan, berkata dalam satu kenyataan bahawa RSF melancarkan serangan artileri di kawasan kejiranan barat dan selatan El Fasher, sambil menambah keadaan keselamatan dan kekurangan komunikasi menyukarkan untuk menentukan jumlah sebenar yang mati dan cedera.
Sementara itu, saksi mata berkata pejuang RSF berjaya sampai ke kawasan kejiranan Al-Wohda dan Al-Salam di barat El Fasher pada Sabtu sebelum tentera menghalau mereka dan menguasai semula dua kawasan berpenduduk itu.
Mereka menambah bahawa pasar ternakan terkenal El Fasher Al Mawashi ditutup pada Ahad selepas peluru roket jatuh berhampiran kedai.
Dalam pada itu, sukarelawan memberi amaran bahawa Hospital Selatan utama El Fasher menghadapi kekurangan bekalan perubatan.
Sejak 10 Mei, pertempuran sengit telah berlaku di El Fasher, peningkatan terbaru konflik yang lebih besar antara SAF dan RSF di seluruh negara sejak 15 April 2023. Pertempuran maut setakat ini telah meragut 15,550 nyawa dan lebih 8.8 juta orang kehilangan tempat tinggal di seluruh negara, menurut anggaran baru-baru ini oleh Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.
XINHUA