Penolong Pegawai Pertanian gagal lapor rasuah didenda RM3,000

KUANTAN — Seorang Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) didenda RM3,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan kerana gagal melaporkan pemberian suapan RM300 pada 5 dan 7 Januari tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain selepas menerima pengakuan tertuduh, Ahmad Akmi Mohamad, 39.

Dalam penghakimannya, Ahmad Zamzani berkata, Ahmad Akmi berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu bagi pertuduhan pilihan pertama.

Mengikut kertas pertuduhan pilihan pertama, tertuduh diberi suapan iaitu wang berjumlah RM200 di sebuah kedai makan di Kuala Lipis, Lipis pada jam 4 petang, 5 Januari tahun lalu, dengan melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh gagal melaporkan pemberian suapan berserta dengan nama pemberi suapan kepada pegawai SPRM atau polis berhampiran.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan kedua pula tertuduh pada 1 petang 7 Januari tahun lalu, di Jalan Temerloh, Temerloh diberi suapan iaitu wang berjumlah RM100 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh dengan melanggar peruntukan Akta SPRM 2009.

Iaitu tertuduh gagal melaporkan pemberian suapan berserta dengan nama pemberi suapan kepada pegawai SPRM atau pegawai polis.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta yang sama.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, Ahmad Akmi mengaku salah manakala pertuduhan pilihan kedua tertuduh mengakui kesalahan selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Terdahulu, peguam tertuduh, Khairul Amin Abdullah dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman paling minimum kerana ia adalah kesalahan pertama dan tiada rekod kes lain sama ada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, tertuduh hanya menerima separuh gaji dan menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anaknya.

“Tertuduh berjanji lebih berhati-hati dan tidak akan mengulangi kesalahan itu,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya, Rif’ah Izzati Abdul Mutalif, berkata, walaupun wang suapan berjumlah RM300 iaitu jumlahnya kecil, tertuduh melakukan kesalahan.

“Saya harap hukuman yang dikenakan menjadi peringatan dan kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

BH Online