IPOH — Gara-gara menerima pulangan keuntungan RM1,000, seorang peniaga akhirnya kerugian RM870,000 akibat diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata terdahulu lelaki berusia 54 tahun terbabit dihubungi seorang wanita pada 24 Jun lalu yang memaklumkan dirinya memperoleh keuntungan besar dalam pelaburan mata wang digital itu.
Beliau berkata, mangsa kemudian melabur sebanyak RM5,000 sebelum mendapat semula modal bersama keuntungan RM1,000.
“Selepas itu, suspek meminta mangsa melabur dalam jumlah lebih besar bagi mendapatkan keuntungan tinggi.
“Akibat terperdaya, mangsa dikatakan membuat beberapa transaksi ke dalam tiga akaun bank diberikan hingga mencecah RM870,000.
“Mangsa dikata dijanjikan keuntungan sebanyak RM1.5 juta. Suspek juga didakwa meminta bayaran proses sebanyak 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa mengesyaki dirinya ditipu apabila tiada menerima sebarang bayaran, lalu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, semalam.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
BH Online