Pemandu, jururawat parah ambulans langgar lori di parkir tepi jalan

BETONG — Pemandu ambulans dan seorang jururawat parah selepas ambulans dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang di parkir di tepi jalan, dalam kemalangan di Jalan Memaloi, Skrang di sini, kira-kira jam 4.20 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima pangilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 4.24 pagi, dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah van ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) melanggar belakang lori treler yang berhenti di bahu jalan.

“Terdapat dua orang mangsa cedera parah iaitu kakitangan KKM, seorang lelaki dewasa (pemandu) dan seorang perempuan dewasa (penumpang),” katanya menerusi satu kenyataan yang dilaporkan Buletin TV3.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa bagaimanapun diselamatkan orang awam sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa iaitu pemandu ambulans berkenaan dikejarkan ke Hospital Sri Aman manakala mangsa kedua, jururawat wanita di bawa ke hospital Betong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

BH ONLINE