Norjuma diisytihar bankrap

GEORGETOWN — Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengisytiharkan usahawan, Norjuma Habib Mohamed muflis selepas gagal membayar RM260,400 kepada Fame Up Entertainment.

Penolong Pendaftar Siti Zulaikha Nordin @ Ghani merekodkan perintah kebankrapan itu selepas mendengar petisyen kreditor yang difailkan oleh syarikat berkenaan pada Oktober tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar, peguam Muhammad Hassanuddin Roslan yang mewakili Fame Up Entertainment berkata, Mahkamah Tinggi hari ini mengisytiharkan Norjuma sebagai muflis.

Beliau berkata, Norjuma sudah dimaklumkan mengenai prosiding berkenaan pada jam 9 pagi ini, namun tidak hadir dan mahkamah sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Kami percaya Jabatan Insolvensi akan meneruskan proses kebankrapan ini,” katanya.

Muhammad Hassanuddin berkata, secara asasnya, Fame Up Entertainment memfailkan petisyen terhadap Norjuma, dan hari ini sudah ditetapkan untuk pendengaran kes.

“Mahkamah memutuskan (Noorjuma) bankrap selepas dia gagal melunaskan bayaran untuk petisyen kreditor,” katanya.

Hadir di mahkamah, pemilik Fame Up Entertainment, Zuriawati Zaidi, 44.

Oktober tahun lalu, Fame Up Entertainment dilaporkan memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Norjuma.

Notis itu difailkan pada 15 Ogos tahun lalu yang memohon supaya Norjuma membayar RM260,400 kepada Fame Up Entertainment selepas diperintah berbuat demikian oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Muhammad Hassanuddin ketika itu berkata, jika Norjuma gagal melunaskan bayaran itu, Fame Up Entertainment akan memfailkan petisyen kebankrapan terhadap usahawan itu.

Untuk rekod, Fame Up Entertainment memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma pada 2019 dan 2020.

Dalam pada itu, Muhammad Hassanuddin berkata, prosiding berhubung waran tangkap terhadap usahawan itu di mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam akan diteruskan.

“Waran tangkap itu sudah diserahkan kepada balai polis di Kuala Lumpur dan Shah Alam,” katanya. BH