DUNGUN — Seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di kawasan perairan Pulau Tenggol, dekat sini, semalam ditemui selamat hari ini.
Tengku Khairul Asmawi Nizam Tengku Hassan, 40, dari Kampung Sura Hujung keluar ke laut melalui Pengkalan Raja ditemui kira-kira 27 batu nautika dari Kuala Dungun, kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, berkata mangsa ditemui dalam keadaan selamat oleh 12 nelayan yang terdiri daripada rakannya yang turut membantu melakukan operasi pencarian pagi tadi.
“Mangsa diberi makanan oleh rakannya sebelum dibawa pulang ke darat dan tiba di Pengkalan Raja, Sura Hujung kira-kira jam 12 tengah hari.
“Kehilangan mangsa dilaporkan adiknya jam 7.12 malam tadi dan pagi ini gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin,” katanya.
Maizura berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.
“Kita menasihati nelayan supaya sentiasa berwaspada sepanjang berada di laut memandangkan keadaan cuaca ketika ini tidak menentu,” katanya.
BH ONLINE