LONDON – Negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mesti menentang usaha Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk menjejaskan mahkamah berikutan pengeluaran waran tangkap terhadap pemimpin Israel, kata Human Rights Watch (HRW) pada Isnin.
Organisasi itu mengeluarkan laporan 24 muka surat menggariskan cadangan kepada negara anggota bagi memastikan ICC menerima “sokongan politik, sumber dan kerjasama” diperlukan untuk melaksanakan mandatnya.
Mahkamah antarabangsa tertinggi dunia itu menghadapi “tekanan melampau” sejak mengeluarkan waran pada 21 November, kata HRW.
Waran dikeluarkan untuk penahanan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant dan Mohammed Deif, seorang komander Hamas.
Penggubal undang-undang AS memperbaharui ancaman sekatan terhadap mahkamah dan pegawainya selepas waran dikeluarkan.
Liz Evenson, pengarah keadilan antarabangsa HRW, berkata waran ICC “menghantar mesej kritikal bahawa tiada siapa yang berada di atas undang-undang. Negara anggota ICC harus membuat komitmen semasa mesyuarat tahunan mereka (pada 2-7 Dis) untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kerja penting ICC untuk keadilan dapat diteruskan tanpa halangan.”
HRW memberi amaran bahawa sekatan AS terhadap ICC akan mempunyai “akibat yang meluas untuk keadilan global.”
Ketidakpastian undang-undang dan kebimbangan untuk NGO, perunding dan peguam boleh timbul akibat daripada sekatan, yang merupakan “alat untuk digunakan terhadap mereka bertanggungjawab untuk jenayah paling serius, bukan terhadap mereka yang mempromosikan keadilan,” kata HRW.
Selepas mengeluarkan waran, banyak negara anggota ICC menyuarakan sokongan terhadap keputusan mahkamah, namun ada yang mengelak daripada membuat komitmen yang jelas untuk menguatkuasakannya.
Presiden Hungary Viktor Orban berkata beliau akan menjemput Netanyahu untuk melawat negaranya walaupun Hungary, anggota ICC, diwajibkan menangkap sesiapa dikehendaki oleh The Hague.
Kerajaan Perancis minggu lalu kelihatan mendakwa Netanyahu menikmati kekebalan daripada penahanan kerana Israel bukan ahli ICC. Hakim di The Hague telah menolak pandangan ini.
Negara anggota mesti mengecam ancaman Israel dan AS terhadap mahkamah dan penyokongnya, termasuk pertubuhan masyarakat sivil, NGO dan pembela hak asasi manusia, kata HRW.
Mesyuarat tahunan sepatutnya menghasilkan “langkah konkrit” yang bertujuan untuk melindungi mahkamah daripada “langkah paksaan,” tambah organisasi itu.
“ICC memerlukan sokongan negara anggotanya untuk memenuhi mandat globalnya yang bercita-cita tinggi untuk memberikan keadilan bagi jenayah yang paling serius,” kata Evenson.
“Sokongan negara anggota perlu konsisten dari semasa ke semasa dan merentasi situasi untuk mengelakkan standard berganda, dan menegakkan kesahihan mahkamah untuk mangsa dan komuniti terjejas.”
AN