Najib sifatkan dakwaan Ahmad Husni beliau memintanya tak campur tangan urusan 1MDB amat mengecewakan

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak menafikan pernah meminta bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, supaya tidak campur tangan berhubung rancangan pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak PetroSaudi International Ltd (PSI).

Pada perbicaraan 6 Ogos 2019, Ahmad Husni memberitahu Mahkamah Tinggi, Najib yang ketika itu Perdana Menteri memintanya tidak terbabit dalam rancangan pelaburan itu ketika beliau (Ahmad Husni) menyuarakan kebimbangan mengenainya.

Menurut Ahmad Husni, Najib berkata kepadanya, ‘kamu jangan bimbang Husni, dari hari ini dan seterusnya jangan terbabit dan saya tidak mahu kamu campur tangan’.

Najib yang membela diri terhadap tuduhan penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata dakwaan Ahmad Husni adalah tidak benar sama sekali dan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian.

Najib berkata, tiada bukti dokumen dikemukakan bagi menyokong keterangan itu dan menyifatkan sebagai ‘amat menyakitkan’ bagi seseorang yang diamanahkan dengan peranan penting untuk membuat tuduhan sedemikian terhadapnya.

“Tuduhan itu ‘amat menyakitkan’.

“Mendengar keterangan Husni dan dakwaannya amat mengecewakan, saya pilih beliau secara peribadi untuk berkhidmat sebagai Menteri Kewangan II pada April 2009, ia adalah peranan dengan tanggungjawab dan amanah yang besar.

“Sepanjang tempoh sebagai Presiden UMNO, saya juga melantik beliau sebagai Bendahari, ia jawatan yang mencerminkan keyakinan saya terhadap keupayaan dan integriti beliau.

“Keputusan ini tidak dibuat secara mudah, ia berdasarkan kepercayaan bahawa beliau akan setia berkhidmat kepada negara dan parti dengan kesetiaan dan penghormatan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Ketika disoal oleh peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib berkata, beliau percaya Ahmad Husni kecewa dengan keputusannya ketika itu untuk memindahkannya ke kementerian lain.

Najib berkata, ia adalah menjadi amalan biasa bagi seorang perdana menteri untuk memindahkan menteri sebagai sebahagian daripada pengalaman mereka mengendalikan pelbagai portfolio.

Katanya, Ahmad Husni tidak berpuas hati dengan keputusan untuk berpindah sama ada kepada portfolio ekonomi atau perumahan dan kerajaan tempatan.

Apabila Muhammad Shafee bertanya sama ada ia juga berkaitan dengan anak Ahmad Husni, Najib berkata, beliau mengingati bahawa anaknya (Ahmad Husni) gagal dalam permohonan bidaan untuk projek yang mungkin berkaitan dengan pembinaan.

“Apabila anda berada di ‘atas’, anda akan dipersalahkan untuk segala-galanya, kadang-kadang sistem tidak membenarkan anda untuk memenuhi permintaan semua orang,” katanya.

BH ONLINE