GUA MUSANG — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di FELDA Perasu, di sini, pada 14 Ogos lalu.
Presiden BERSATU itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Muhyiddin tiba di Mahkamah Sesyen Gua Musang, di sini, jam 8.43 pagi bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, susulan ceramahnya yang didakwa menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, awal bulan ini.
Pendakwaan Muhyiddin hari ini menjadikan beliau bekas Perdana Menteri pertama yang dituduh mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.
BH ONLINE