MRSM Terendak paling daif, uzur – Asyraf Wajdi

AYER KEROH — Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendedahkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak adalah yang paling teruk dari segi keadaannya sangat daif dan uzur, berbanding 39 lagi MRSM sudah dilawati beliau.

Beliau yang mengadakan lawatan ke MRSM Terendak, Sungai Udang di sini, hari ini, mengaku amat terkejut apabila mendapati banyak kemudahan asas di institusi pendidikan itu rosak, kotor dan tidak boleh digunakan.

Malah, dapur di Dewan Selera MRSM terbabit juga didapati kotor dan menjijikkan, selain bilik air dan tandas rosak sehingga tidak boleh digunakan.

Bukan itu saja, beberapa ruang pejabat juga dilihat mengalami kerosakan sehingga mengganggu operasi pengurusan dan pentadbiran MRSM berkenaan.

“Saya melihat sendiri keadaan daif di MRSM itu. Setakat 40 MRSM yang sudah saya lawati, inilah yang paling teruk pernah saya tengok. Pada penilaian saya, MRSM Terendak berada dalam keadaan yang sangat daif dan uzur, terutama fasiliti tertentu.

“Dalam konteks ini, saya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk MARA memberi keutamaan menaik taraf kemudahan asas seperti tandas, selain ada bilik guru yang tidak boleh digunakan langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi mengadakan lawatan mengejut susulan laporan mengenai 48 pelajar MRSM Terendak mengalami keracunan makanan, malam tadi.

Susulan itu, beliau mengarahkan pengurusan MRSM Terendak menyenaraikan keutamaan berkaitan dalam tempoh sebulan, dengan menggunakan peruntukan khas yang diluluskannya berjumlah RM400,000.

“Paling penting ialah tandas, bilik guru dan asrama mesti berada pada tahap yang baik kerana saya sudah meluluskan peruntukan RM400,000 bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan berkenaan.

“Pada saya, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di MRSM berusia 41 tahun berkenaan yang mempunyai 663 pelajar. Saya mengambil serius perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa seramai 48 pelajar Tingkatan 1 dan 2 MRSM Terendak mengalami keracunan makanan sejak malam tadi.

“Tadi, saya bersama Pejabat Kesihatan mendapati dapur masak di Dewan Selera MRSM terbabit kotor dan mempunyai najis, selain keadaannya tidak terurus.

“Namun, pihak Pejabat Kesihatan masih melakukan siasatan mengenai punca sebenar kes keracunan makanan itu sama ada dari bahan masakan di dapur Dewan Selera itu atau makanan yang dibawa dari luar,” katanya.

Sementara itu dalam hantaran melalui Facebook pada petang tadi, Asyraf Wajdi berkata, beliau menerima banyak mesej daripada ibu bapa mengenai insiden keracunan makanan berkenaan yang turut menyebabkan enam pelajar dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan siasatan lanjut dan akan mengambil tindakan, termasuk notis penutupan Dewan Selera itu.

Selain itu, katanya, beliau memberi kelulusan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih empat fasiliti asas, iaitu tandas di Bangunan Akademik, bilik guru di Jabatan Sains, tandas di Asrama Putera dan Puteri, serta pintu kelas akademik yang rosak teruk.

“Saya telah memberi tempoh sebulan kepada pihak Pengetua dan pengurusan MRSM untuk menyelesaikan isu-isu penyelenggaraan fasiliti ini.

“Kebajikan guru serta pelajar menjadi keutamaan kami di MARA, dan suasana kondusif amat penting untuk keselesaan semua bagi menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Tiada kompromi jika ia membabitkan isu kesihatan dan keselesaan pelajar.

“Saya akan terus memantau dan memastikan isu seperti ini tidak berlaku lagi. Jika ia berlaku, boleh terus laporkan kepada saya melalui ruangan komen Facebook ini,” katanya.

BH ONLINE