KOTA BHARU — Seorang peniaga wanita dikompaun Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kerana berpakaian tidak sopan apabila hanya berseluar pendek hingga pangkal paha di tempat awam.
Tindakan kompaun dikenakan terhadap wanita berusia 35 tahun itu ketika pemeriksaan mengejut di kedainya dekat Jalan Merbau, di sini, semalam, mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.
Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin, berkata kompaun dikeluarkan kepada pemegang lesen perniagaan atau pemilik sebuah premis kerana didapati berpakaian tidak sopan di tempat awam.
Katanya, pemegang lesen hendaklah memastikan dirinya dan pekerja berpakaian sopan, bersih dan kemas sepanjang menjalankan perniagaan atau perindustrian.
“Bagi yang bukan beragama Islam, mereka perlu memastikan dirinya dan pekerja yang bukan beragama Islam memakai pakaian sopan dan sekiranya pekerja beragama Islam hendaklah menutup aurat.
“Tindakan kompaun ini sentiasa dilaksanakan oleh penguat kuasa MPKB-BRI dari semasa ke semasa sebelum ini terhadap pekerja dan pemilik premis beragama Islam dan bukan beragama Islam.
“Namun, ia tiada provokasi dan manipulasi yang timbul oleh mana-mana pihak sepanjang proses pengeluaran kompaun dilakukan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, melalui hantaran di dalam akaun Facebook Sunny See Yeap Seng bertarikh 25 Jun lalu, gambar pemegang lesen berpakaian yang dimuat naik adalah berbeza dengan gambar pemegang lesen berpakaian ketika kompaun dikeluarkan.
“Pihak MPKB-BRI amat kesal dengan kenyataan mengelirukan yang tidak berasas serta berterusan yang dibuat pemegang akaun facebook itu sehingga mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap penguat kuasa MPKB-BRI.
“MPKB-BRI memberi perhatian serius terhadap hantaran terbabit berserta komen netizen,” katanya. BH