KUALA LUMPUR — Tidak ramai ibu bapa yang berani tampil untuk menceritakan mengenai kesan penggunaan gajet kepada anak mereka, malah apa yang lebih membimbangkan kebanyakannya enggan menerima realiti apa yang berlaku itu disebabkan oleh kesalahan mereka sendiri.
Namun bagi ibu kepada tiga cahaya mata, Rasidah Hanum Lehon, meskipun perit untuk menerima hakikat mata anaknya juling akibat penggunaan gajet, beliau harus tampil bagi memberikan kesedaran kepada ibu bapa lain.
Katanya, anak sulungnya, Nik Nur Soffea Amanda lahir sebagai seorang kanak-kanak normal, namun anak matanya semakin juling ketika berusia dua tahun.
“Ketika itu, saya bagi anak tengok telefon bimbit mengikut kehendaknya. Tidak kira waktu siang mahupun malam. Setiap kali tengok, lebih dua hingga tiga jam tanpa henti.
“Bayangkan dalam satu hari, tiga hingga empat kali Amanda melihat telefon. Bagi saya, itu sahaja cara untuk bagi Amanda senyap kerana mahu tidurkan adiknya, sama juga ketika makan di luar. Saya akan bagi Amanda telefon supaya dia senyap ketika di meja makan,” katanya.
Segala-galanya berubah ketika beliau mendapati mata kanan anaknya juling ketika sedang bercakap dengannya.
“Saya ingat dia saja buat mata juling ketika bercakap dengan saya. Tetapi selepas lebih seminggu, saya lihat keadaan matanya masih sama. Saya terus pergi ke klinik kesihatan terdekat dan doktor merujuk Amanda ke hospital.
“Doktor maklumkan mata anak menjadi juling sebab rabun, tetapi pada ketika itu saya memang tidak nampak pun petanda anak itu rabun.
“Punca kepada masalah matanya kerana telefon. Matanya terlalu fokus kepada gajet sehingga menjadikannya lazy eyes.
“Sudah tentu saya tidak dapat menerima keadaan anak yang juling secara tiba-tiba, sedih sangat. Tapi saya akui semua ini silap saya,” katanya.
Anak pakai cermin mata
Bercerita lanjut, Rasidah berkata, doktor menasihatkan anaknya untuk memakai cermin mata bagi meluruskan kembali anak matanya dan beliau sangat bersyukur keadaan mata anaknya yang kini sudah berusia sembilan tahun beransur pulih.
Rasidah berkata, beliau tidak menghentikan terus penggunaan gajet kepada anaknya kerana tahu teknologi itu masih perlu digunakan, terutama bagi menyiapkan kerja sekolah.
“Tapi penggunaannya dihadkan, tidak sama seperti sebelum ini, dia guna tidak kira masa. Mula-mula memang sangat susah tetapi saya kena kentalkan hati dan perlu banyak pujuk Amanda. Kini, dia sudah faham mengapa saya berbuat demikian,” katanya.
Rasidah meminta supaya ibu bapa lain tidak memberikan anak mereka gajet dalam tempoh yang lama terutama menggunakannya ketika keadaan gelap.
Berlainan pula dengan seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Laili, beliau memaklumkan anaknya yang berusia 10 tahun tidak mengalami sebarang perubahan fizikal, namun mendapati kelakuan anaknya menjadi lebih mudah mengamuk jika kehendaknya tidak dituruti.
“Saya berikan telefon bimbit untuk memudahkan komunikasi sekiranya ada kelas tambahan di sekolah. Tetapi, sejak dia dapat telefon bimbit, nampak dia seperti tenggelam dalam dunianya sendiri. Memang tidak nampak telefon bimbit itu lepas daripada tangannya.
“Lama kelamaan, kita nampak keputusan peperiksaan semakin merosot. Bila tanya kepada guru kelas, katanya anak saya susah untuk fokus ketika belajar. Disebabkan itu, sebagai hukuman saya nekad untuk mengambil telefon bimbitnya.
“Tapi apa yang berlaku, dia tiba-tiba mengamuk sehingga membaling barang ke arah saya. Segala apa yang saya cakap tidak diendahkan, tetapi bila kita berikan semula telefon bimbit itu, perangainya akan kembali normal,” katanya.
BH ONLINE