Maritim Malaysia sita dua bot nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan Vietnam bersama hasil tangkapan dan peralatan bernilai RM3 juta.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar, berkata bot terbabit ditahan kira-kira jam 9 malam Khamis lalu oleh kapal peronda yang menjalankan Op Naga Barat.

Menurutnya, kedua-dua bot terbabit ditahan pada kedudukan 155 batu nautika timur muara Kuala Terengganu selepas dikejar kira-kira sejam kerana cuba melarikan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 12 orang awak-awak bersama tekong warganegara Vietnam berusia 19 hingga 35 tahun.

“Semua yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan semua akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963.

“Selain itu, kedua-dua bot juga tidak mempunyai permit menangkap ikan yang sah dan ditahan kerana melakukan penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, musim sotong yang bermula pada bulan April hingga Ogos menarik minat bot nelayan Vietnam mencuri hasil laut negara.

“Sepanjang Op Naga Barat dilaksanakan dari tahun 2019 sehingga kini, Maritim Malaysia merekodkan 135 tangkapan bot nelayan Vietnam dengan nilai rampasan mencecah RM280 juta.

“Tahun ini sahaja, tangkapan ini yang ke-10 membabitkan,” katanya.

BH ONLINE