MARDI sudah membangunkan lebih 53 variati padi yang dimakan oleh rakyat dan digunakan oleh 95 peratus penanam padi di seluruh negara ketika ini. Foto hiasan - Unsplash
SERDANG — MARDI sudah membangunkan lebih 53 variati padi yang dimakan oleh rakyat dan digunakan oleh 95 peratus penanam padi di seluruh negara ketika ini.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata bagi membangunkan satu variati padi memerlukan masa lebih kurang lapan hingga 10 tahun dengan kos tidak kurang daripada RM5 juta.
“Mungkin masih ramai yang belum mengenali dan mengetahui peranan sebenar agensi ini yang bangunkan lebih 53 variati padi yang dimakan oleh rakyat di negara ini.
“Namun disebabkan kita tidak terbabit dalam pengurusan ladang, nama kita ini jadi tertinggal dan tidak nampak apa yang MARDI sumbangkan kepada negara,” katanya pada sidang media selepas ‘flag-off’ kenderaan sempena penganjuran Showcase Teknologi 2023 (Show-tech 2023) bermula 25 Ogos ini di Ibu Pejabat MARDI, hari ini.
Oleh demikian, Mohamad Zabawi berkata, lebih 300 teknologi dan inovasi akan dipamerkan dalam penganjuran Show-tech 2023, yang juga penganjuran kali kedua selepas kali pertama diadakan pada 19 tahun lalu.
Beliau berkata, penganjuran pameran seumpama itu bagi membolehkan masyarakat dan pemain industri memahami teknologi dan inovasi yang sudah dibangunkan oleh MARDI sejak 50 tahun lalu.
“Pelbagai teknologi baharu dan belum dikomersialkan akan dipamerkan termasuk teknologi berkaitan makanan, tanaman dan ternakan.
“Mudah mudahan dengan adanya program ini, orang boleh nampak apa yang sudah disumbangkan oleh MARDI kepada negara,” katanya.
Dengan tema ‘Peneraju Inovasi Agroteknologi’, Mohamad Zabawi berkata, Show-tech 2023selama tiga hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) itu akan memberi fokus kepada enam kluster utama iaitu tanaman, mekanisasi, teknologi makanan, ternakan, pemindahan teknologi dan Agrotourism.
“Show-tech 2023 ini akan diadakan di dua tempat iaitu di Dewan A yang merangkumi pameran teknologi yang dibangunkan oleh MARDI manakala di Tapak Show Plot pula terdapat demostrasi teknologi yang sudah dibangunkan.
“Selain kita pamerkan teknologi yang ada, MARDI turut menyediakan pelbagai bengkel dan klinik untuk memberi khidmat nasihat kepada petani mahupun orang awam berkaitan tanaman serta keusahawanan,” katanya.
Selain pameran di dewan utama, beliau berkata, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan di Dewan B, Dewan C serta di kawasan sekitar bangunan seperti pesta durian, belon udara panas, karnival makanan, jualan produk usahawan, explorace dan Festival Khobek.
Sumber – BH Online