(Foto SPA) |
RIYADH — Pengeluaran mangga Arab Saudi meningkat kepada 88,600 tan setahun mencapai 60 peratus sara diri sejajar dengan objektif Wawasan 2030.
Negara ini telah mengusahakan tanaman buah mangga untuk meningkatkan pengeluaran dengan menanamnya di kawasan seluas lebih 6,880 hektar.
Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian telah berminat untuk meningkatkan pengeluaran mangga, mencapai keselamatan makanan dan meningkatkan kadar penanaman sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mencapai matlamat Wawasan 2030.
Kementerian juga menyatakan tanaman buah-buahan tropika seperti mangga mempunyai pulangan ekonomi yang tinggi kepada negara.
Tanaman buah-buahan bermusim tumbuh merentasi pelbagai ladang di negara itu dengan yang paling terkenal adalah di wilayah Jizan di Sabya, Abu Arish, Al Darb, Samtah dan Baish serta di Muhafazat Al Qunfadhah di wilayah Makkah.
Mangga juga ditanam di wilayah Al-Bahah di kota Al-Makhwah dan Qilwa, selain di Asir, Najran, Madinah dan wilayah Timur.
Kementerian menyatakan musim pengeluaran mangga berlangsung dari April hingga Ogos dan negara mengeluarkan lebih 20 jenis mangga dalam tempoh ini termasuk Awais, Sukkari dan Tommy Atkins.
Pada 2005, negara ini mempunyai kira-kira 250,000 pokok mangga yang menghasilkan lebih daripada 18,000 tan setahun, menurut laporan oleh Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Selain itu, bilangan ladang mangga pada 2022 melebihi 19,100 dengan satu juta pokok mangga dan lebih 65,000 tan pengeluaran tahunan.
Al-Qunfadhah mempunyai lebih 2,700 ladang dengan jumlah 400,000 pokok dan hasil tahunan melebihi 40,000 tan.
Sabya adalah rumah kepada salah satu ladang terbesar di negara ini, dengan lebih daripada 30,000 pokok dan pengeluaran tahunan lebih daripada 600 tan.
Sektor pertanian negara menyaksikan peningkatan besar sejak Raja Salman merasmikan Program Pembangunan Luar Bandar Pertanian Lestari pada 2019.
Program ini menetapkan objektif untuk meningkatkan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran buah-buahan, ikan, ternakan, kopi Arab dan tanaman tadah hujan. AN