Malaysia-Filipina komited bangunkan Wilayah Autonomi Bangsamoro

PUTRAJAYA — Kerajaan Filipina dan Malaysia komited mengkoordinasi usaha membangunkan Wilayah Autonomi Bangsamoro di selatan Filipina sebagai antara inisiatif memperkasakan hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, berkata antara sektor yang boleh diterokai bersama adalah seperti industri halal, perbankan Islam dan keselamatan makanan.

“Malaysia menawarkan kepakarannya untuk melatih pegawai dan kakitangan Filipina bagi memperkasakan lagi kebolehan dalam sektor penting yang semakin berkembang ini.

“Kami juga bersetuju meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain terutama dengan Malaysia menjadi antara negara peneraju dalam ekonomi halal di dunia dan kerjasama ini berupaya memberi faedah serta kebaikan kepada pertumbuhan ekosistem halal masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke Malaysia.

Marcos berkata, Filipina dan Malaysia turut bersetuju meneroka lebih banyak sinergi bagi perkongsian masa depan menerusi mesyuarat suruhanjaya bersama yang dijangka berlangsung pada Oktober depan.

Katanya, mesyuarat itu akan membolehkan agensi kerajaan kedua-dua negara mengadakan perbincangan lebih terperinci terutama dalam aspek jenayah rentas sempadan, pertanian, industri halal, perbankan Islam, pendidikan, pelancongan, budaya, sukan serta ekonomi digital.

“Kami juga akan meneruskan kerjasama membabitkan perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan yang mana akan ditandatangani dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menyedari kepentingan ASEAN, Marcos berkata, kedua-dua negara menyatakan komitmen menyokong aktiviti dalam konteks ASEAN serta Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Kami juga bersetuju untuk meneroka bukan sahaja di sepanjang garisan multilateral, malah setiap isu yang didepani di wilayah ini, khususnya mempromosikan hubungan bilateral antara Malaysia dan Filipina serta rakan lain dalam ASEAN.

“Ini adalah aspek penting terutama dalam pelbagai isu didepani ASEAN dan negara anggotanya,” katanya.

Dalam pada itu, Marcos berkata, lawatan rasminya ke negara ini bukan sahaja menunjukkan kepentingan Malaysia sebagai negara jiran, malah memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara terutama menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik rasmi Malaysia-Filipina tahun depan.

BH Online