Lelaki kudung mengaku salah tembak polis, miliki senjata api

KOTA TINGGI — Seorang lelaki kurang upaya (OKU) dihadapkan ke mahkamah berasingan di sini hari ini atas tujuh pertuduhan berkaitan senjata api dan dadah serta melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

Muhamad Firdaus Paiman, 35, yang kudung kaki kiri dibawa ke Mahkamah Sesyen untuk didakwa di hadapan Hakim Sazlina Safie atas pertuduhan memiliki pistol Beretta Gardone VT dan selaras senapang patah buatan sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan dalam sebuah kereta di tepi Masjid Al Ikhwan Gugusan Adela, di sini, kira-kira jam 1 pagi, 10 Mei lalu.

Bagi pertuduhan pertama itu, Muhamad Firdaus didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum maksimum penjara 14 tahun serta sebatan sehingga enam kali.

Bapa tunggal itu juga didakwa memiliki tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9 milimeter (mm) tanpa lesen senjata di sebuah rumah di FELDA Tunggal, kira-kira jam 2.30 pagi, 10 Mei.

Pertuduhan ketiga menyebut tertududuh memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata di lokasi, jam dan tarikh yang sama, manakala pertuduhan keempat, memiliki sebutir peluru jenis Kartus 12 Bore tanpa lesen senjata.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Muhamad Firdaus mengaku bersalah bagi semua pertuduhan kes berkenaan sebelum Sazlina menetapkan 15 Jun untuk sebutan semula kes dan keputusan penghakiman. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi.

Tertuduh juga dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk tiga pertuduhan lain di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati atas kesalahan melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Tindakannya itu bagi menghalang penangkapannya di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang, kira-kira jam 3.35 petang pada 7 Jun 2016.

Muhamad Firdaus juga didakwa memiliki dadah jenis ‘nimetazepam’ seberat 0.44 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al Ikhwan, Gugusan FELDA Adela, kira-kira jam 1 pagi pada 10 Mei, manakala pertuduhan ketiga, memiliki dadah kanabis seberat 0.90 gram di lokasi dan masa sama.

Lelaki berkenaan turut mengaku bersalah bagi ketiga-tiga tuduhan terbabit. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid.

Rashidah kemudian menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula dan memindahkan kes ke Mahkamah Majistret Pengerang. BH