KINABATANGAN — Lelaki yang hilang selepas terjatuh dari feri mengangkut barang ketika menyeberang sungai di kawasan estet, di sini, Ahad lalu, ditemui lemas, hari ini.
Mayat mangsa Antonius Permisi, 45, ditemui oleh pasukan bomba kira-kira jam 10.30 pagi selepas operasi pencarian dilakukan selama tiga hari.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday, berkata lelaki warga Indonesia terbabit ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa terjatuh.
“Mayat mangsa terus diangkat keluar sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa yang sedang melakukan kerja mengangkut baja daripada feri mengangkut barang dilaporkan terjatuh.
Operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan menggunakan dua bot dengan kaedah pencarian permukaan air.
Operasi pencarian menyelusuri sungai berkenaan turut dibantu beberapa agensi lain dan orang awam.
BH ONLINE