GEORGETOWN — Seorang lelaki ditahan ketika cuba merampas submesingan jenis HK MP5 daripada anggota polis yang bertugas di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat di sini, awal pagi tadi.
Suspek berusia 35 tahun dikatakan menunggang sebuah motosikal, menghampiri anggota yang sedang menjalankan tugas di pintu pagar balai berkenaan pada jam 4 pagi sebelum meminta anggota membuka laluan masuk itu.
Ketika anggota berkenaan meminta suspek menyatakan tujuan ke balai, suspek tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota berkenaan selain menceroboh masuk perkarangan balai berkenaan.
Sebaik memasuki pekarangan balai, suspek cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota berkenaan namun gagal.
Susulan itu, anggota berkenaan cuba menenangkan suspek termasuk memberi amaran supaya tidak mengulangi tindakannya, tetapi suspek secara tiba-tiba membuka topi keledarnya dan menyerang anggota tersebut.
Bagaimanapun, tindakan suspek gagal selepas anggota berkenaan yang dibantu rakan setugas berjaya menahannya.
Susulan pergelutan yang berlaku, suspek mengalami kecederaan di muka dan tangan ketika anggota melakukan tangkapan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurut sumber, suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian tetapi saringan ujian air kencing didapati negatif dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung insiden itu.
Susulan tangkapan itu, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan.
BH ONLINE